Thursday, March 26, 2009

KISAH BURUNG UNTA DAN RUMAH TUA

Ada dua analogi yang diperkatakan oleh Ketua Pengarah (KP) Penerangan, Dato’ Haji Abdullah Morad menarik perhatian saya ketika menyampaikan ucapan bersama ahli-ahli Komuniti Bestari Mukim Trong dalam program Singgah Sebentar bersama KP pada 22 Mac 2009 yang boleh kita fikirkan bersama.

Pertama :
Kisah burung unta dan tuannya - idea dari Mantan MB Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim. Menurut ceritanya, ada seorang pemilik burung unta (ostrich) yang tidak mesra dengan burung tersebut. Pemilik burung rasa hairan kenapa burung peliharaannya tidak begitu mesra dengannya. Walaupun dia telah memelihara burung tersebut bertahun-tahun. Selaku pemilik burung, beliau sebenarnya menyerahkan tugas peliharaan, memberi makan dan minum serta nmenjaga burung unta ini kepada pekerjanya. Cuma kadang-kala dan sesekali apabila pemilik burung terasa berkeinginan untuk memberi makan kepada burung itu bila ada kelapangan bagi memenuhi masa lapangnya. Itupun amat jarang dilakukannya. Cuma sekali-sekala sahaja. Setiap kali beliau mengacu-acukan makanan dan cuba beri makan kepada burung itu, burung itu bukan sahaja tidak menjamah makanan yang dihulurkan, sebaliknya burung itu cuba mematuknya. Pemilik burung rasa kehairanan. Dia terfikir dalam hati, tidakkah burung itu tahu bahawa dia yang menjadi tuannya (pemilik burung) yang perlu dihormati.

Ulasan :
Kisah burung unta yang tidak begitu mesra dengan tuannya ini bolehlah kita ibaratkan jika peranan Jabatan Penerangan yang tidak sensitif dengan kehendak masyarakat semasa seperti menggunakan pendekatan pemimpin turun padang, pemimpin bersama rakyat dan pegawai-pegawai Penerangan turun padang mengeratkan perhubungan dengan rakyat terutama menemui pemimpin-pemimpin Komuniti Bestari dan barisan ahli jawatankuasanya yang merupakan contact person dalam jaringan Komuniti Bestari di semua mukim seluruh Negara, maka nescaya peranan dan matlamat kita gagal.

Untuk merapatkan jaringan ini, Jabatan Penerangan telah menjadikan Komuniti Bestari sebagai core business aktiviti Jabatan sebagai jaringan dan rangkaian kita dengan masyarakat diperingkat akar umbi. Persoalannya setelah diwujudkan sejak 1987, bermula dengan penubuhan K3P hingga Komuniti Bestari, apakah kita telah dapat melaksanakan tugas ini dengan sebaik-baiknya?

Di seluruh Negara kita ada sebanyak 1097 Komuniti Bestari. Selain dari Pengerusi terdapat 40 ahli jawatankuasa yang turut memainkan peranan bersama bagi membantu melaksanakan tugas-tugas Jabatan. Jika setiap Pegawai Penyelaras Komuniti Bestari memainkan peranan dan mempunyai hubungan yang rapat dengan mereka, tidak mustahil tugas kita di Jabatan Penerangan akan bertambah mudah bagi menyalurkan maklumat dan mesej-mesej kerajaan. Begitu juga jika kita memainkan peranan yang pro aktif dengan Penggerak Bestari kita di seluruh Negara nescaya visi kita akan berjaya.

Saya khuatir jika kita tidak memberi perhatian sewajarnya kepada Komuniti Bestari, maka peranan Jabatan Penerangan kelihatan obsolete berasaskan perubahan masa dan kehendak masyarakat masa kini. Teringat pula saya kata-kata Mantan KSU, Tan Sri Mazlan Ahmad bahawa Jabatan boleh jadi seperti dinosaur yang hanya layak dipamerkan di muzium sahaja.

Kedua :
Kisah sebuah rumah tua berusia 62 tahun yang telah banyak berjasa kepada seluruh isi keluarganya. Tapi, sikap ahli keluarga rumah yang tidak begitu mengambil berat menjadikan rumah itu kelihatan gagah dan dipandang mulia. Maka, rumah itu pada hari ini kelihatan amat uzur. Keadaan rumah kian hari semakin dimamah usia. Sana sini kelihatan tidak terurus. Atapnya sudah kebocoran, papan dan dindingnya sudah mula dimakan anai-anai. Dapurnya kelihatan senget, menunggu rebah ke bumi. Begitu juga ahli-ahli keluarganya yang suka mementingkan diri terutama apabila datuk nenek mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini. Adik-beradik dan seluruh isi keluarga mula bercakaran sesama sendiri, berebut rumah pusaka, harta dan tanah pusaka yang sekangkang kera. Pergaduhan sesama keluarga sering berlaku bagi mendapatkan hak dan keuntungan semata-mata.

Ulasan :
Kisah rumah tua ini boleh kita ibaratkan kepada parti keramat UMNO yang telah banyak berjasa kepada bangsa, agama dan tanahair yang tercinta ini. Walaupun parti ini telah banyak berjasa, namun pada hari ini keadaan sudah berubah akibat peredaran masa dan zaman. Pada hari ini persepsi rakyat terhadap UMNO sudah berbeza. Tidak seperti dahulu lagi. Ramai anak-anak muda generasi baru sudah tidak hormat pada parti keramat ini. Sekarang, mereka secara terang-terang tidak dapat menerima UMNO malah sanggup bekerja dengan parti-parti pembangkang sebagai protes apabila melihat gelagat watak-watak utama dalam kepimpinan UMNO yang dikaitkan dengan isu-isu rasuah, kronisme, sombong, bongkak, mementingkan diri dan tidak mesra rakyat. Sekarang golongan anak-anak muda sudah tidak mempercayai media arus perdana untuk mendapatkan maklumat dan berita. Mereka menggunakan media cyber sebagai media alternatif. Semangat jati diri mereka kepada Negara sudah mulai pudar. Ekoran pendedahan salah laku watak-watak utama dari kalangan pemimpin-pemimpin Negara yang terlibat dengan isu-isu yang tidak boleh diterima oleh rakyat marhaen. Setelah tewas dalam Piliharanya ke 12 lalu, kesedaran mula timbul, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta UMNO melakukan perubahan berani selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal jika tidak mahu menyaksikan hayat parti berakhir.

Dalam hal ini, Jabatan Penerangan sebagai agensi yang bermatlamat untuk mempertahankan Negara, perlu memainkan peranan bagi mengangkat suara rakyat ke peringkat atasan melalui laporan yang kita hantar setiap minggu, bagi mengatasi rintihan suara-suara ketidakpuasan hati rakyat di peringkat akar umbi agar Jemaah Menteri dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

Oleh yang demikian, seluruh jentera Penerangan perlu digerakkan demi memperkukuhkan lagi hubungan dengan jaringan utama kita khususnya melalui Komuniti Bestari. Kita yakin jika semangat win-win situation antara Jabatan dan kepimpinan Negara dapat kita praktikkan, kita optimis lebih banyak lagi peruntukkan dapat disalurkan kepada semua Komuniti Bestari dalam mengadakan program dan aktiviti dan seterusnya memastikan kejayaan Negara pada masa-masa hadapan.

Selamat Berjuang !!





1 comment:

  1. semoga UMNO akan bangkit semula dalam membela nasib kaum MELAYU

    ReplyDelete