Sunday, April 12, 2009

GAGASAN DAN TRANSFORMASI SATU MALAYSIA : RAKYAT DI DAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

Senarai kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 9 April yang lalu melibatkan perlantikan 28 Menteri dan 40 Timbalan Menteri, ramai pemerhati politik menyifatkannya sebagai Kabinet Rakyat.

Dengan jumlah kementerian dikurangkan daripada 27 kepada 25 serta memperkenalkan Prestasi Kualiti Kerja (KPI) untuk menilai prestasi anggota Kabinet dan pegawai tinggi sektor awam setiap enam bulan sekali dijangka memberi harapan baru halatuju kerajaan untuk membela nasib rakyat.

Begitu juga gandingan muka baru dan lama yang tersenarai dalam barisan Kabinet Rakyat dijangka dapat memantapkan lagi usaha-usaha kerajaan mencapai kejayaan terutama dalam menangani krisis ekonomi diperingkat global di samping mengukuh perpaduan kaum dan mengatasi masalah kemiskinan dikalangan rakyat yang terpinggir.

Tanggal 3 April 2009 lalu satu sejarah baru telah tercatat di Negara kita dimana, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak secara rasminya telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-enam, menggantikan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi .

Apa yang membanggakan kita rakyat Malaysia bahawa peralihan kuasa ini telah berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan tanpa sebarang masalah. Hati kecil kita tentunya merasa sebak dan tersentuh apabila melihat peristiwa bersejarah angkat sumpah ini turut disaksikan oleh dua mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah.

Peralihan kuasa yang begitu tertib ini adalah sesungguhnya satu wisdom atau kebijaksanaan dan keunikan dikalangan pemimpin-pemimpin kita bagi meneruskan peralihan kepimpinan baru terutama bagi menduduki jawatan nombor satu Negara. Hal seperti ini sebenarnya bukanlah mudah untuk dilakukan. Cuba lihat Negara jiran kita di Thailand. Dalam tempoh satu tahun sahaja terdapat empat Perdana Menteri dan Perdana Menteri yang ada sekarang juga sedang berhadapan dengan masalah pergolakan politik dalaman sehinggakan Sidang Kemuncak Asean ke 14 yang turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Najib dan pemimpin-pemimpin Asean terpaksa dibatalkan akibat perusuh-perusuh menyerbut venue sidang kemuncak itu diadakan. Oleh yang demikian kita sewajarnya bersyukur kerana peralihan kuasa ini berjalan dengan licin, lancar tertib dan penuh tatasusila serta berbudaya.

Apa yang amat membanggakan kita rakyat Malaysia dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Najib antara lain berkata “Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan”.

Saya yakin dan percaya dengan gagasan Satu Malaysia. Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan, YAB Dato’ Seri Najib dijangka akan dapat merubah lanskap politik, ekonomi dan sosial yang lebih berjaya di masa hadapan.

Kita juga yakin bahawa beliau yang mewarisi kepimpinan Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak mampu melaksanakan satu transformasi kepada Negara, demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Marilah kita sama-sama berganding bahu memberikan sokongan padu kepada kepimpinan baru Negara.