Thursday, March 26, 2009

KISAH BURUNG UNTA DAN RUMAH TUA

Ada dua analogi yang diperkatakan oleh Ketua Pengarah (KP) Penerangan, Dato’ Haji Abdullah Morad menarik perhatian saya ketika menyampaikan ucapan bersama ahli-ahli Komuniti Bestari Mukim Trong dalam program Singgah Sebentar bersama KP pada 22 Mac 2009 yang boleh kita fikirkan bersama.

Pertama :
Kisah burung unta dan tuannya - idea dari Mantan MB Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim. Menurut ceritanya, ada seorang pemilik burung unta (ostrich) yang tidak mesra dengan burung tersebut. Pemilik burung rasa hairan kenapa burung peliharaannya tidak begitu mesra dengannya. Walaupun dia telah memelihara burung tersebut bertahun-tahun. Selaku pemilik burung, beliau sebenarnya menyerahkan tugas peliharaan, memberi makan dan minum serta nmenjaga burung unta ini kepada pekerjanya. Cuma kadang-kala dan sesekali apabila pemilik burung terasa berkeinginan untuk memberi makan kepada burung itu bila ada kelapangan bagi memenuhi masa lapangnya. Itupun amat jarang dilakukannya. Cuma sekali-sekala sahaja. Setiap kali beliau mengacu-acukan makanan dan cuba beri makan kepada burung itu, burung itu bukan sahaja tidak menjamah makanan yang dihulurkan, sebaliknya burung itu cuba mematuknya. Pemilik burung rasa kehairanan. Dia terfikir dalam hati, tidakkah burung itu tahu bahawa dia yang menjadi tuannya (pemilik burung) yang perlu dihormati.

Ulasan :
Kisah burung unta yang tidak begitu mesra dengan tuannya ini bolehlah kita ibaratkan jika peranan Jabatan Penerangan yang tidak sensitif dengan kehendak masyarakat semasa seperti menggunakan pendekatan pemimpin turun padang, pemimpin bersama rakyat dan pegawai-pegawai Penerangan turun padang mengeratkan perhubungan dengan rakyat terutama menemui pemimpin-pemimpin Komuniti Bestari dan barisan ahli jawatankuasanya yang merupakan contact person dalam jaringan Komuniti Bestari di semua mukim seluruh Negara, maka nescaya peranan dan matlamat kita gagal.

Untuk merapatkan jaringan ini, Jabatan Penerangan telah menjadikan Komuniti Bestari sebagai core business aktiviti Jabatan sebagai jaringan dan rangkaian kita dengan masyarakat diperingkat akar umbi. Persoalannya setelah diwujudkan sejak 1987, bermula dengan penubuhan K3P hingga Komuniti Bestari, apakah kita telah dapat melaksanakan tugas ini dengan sebaik-baiknya?

Di seluruh Negara kita ada sebanyak 1097 Komuniti Bestari. Selain dari Pengerusi terdapat 40 ahli jawatankuasa yang turut memainkan peranan bersama bagi membantu melaksanakan tugas-tugas Jabatan. Jika setiap Pegawai Penyelaras Komuniti Bestari memainkan peranan dan mempunyai hubungan yang rapat dengan mereka, tidak mustahil tugas kita di Jabatan Penerangan akan bertambah mudah bagi menyalurkan maklumat dan mesej-mesej kerajaan. Begitu juga jika kita memainkan peranan yang pro aktif dengan Penggerak Bestari kita di seluruh Negara nescaya visi kita akan berjaya.

Saya khuatir jika kita tidak memberi perhatian sewajarnya kepada Komuniti Bestari, maka peranan Jabatan Penerangan kelihatan obsolete berasaskan perubahan masa dan kehendak masyarakat masa kini. Teringat pula saya kata-kata Mantan KSU, Tan Sri Mazlan Ahmad bahawa Jabatan boleh jadi seperti dinosaur yang hanya layak dipamerkan di muzium sahaja.

Kedua :
Kisah sebuah rumah tua berusia 62 tahun yang telah banyak berjasa kepada seluruh isi keluarganya. Tapi, sikap ahli keluarga rumah yang tidak begitu mengambil berat menjadikan rumah itu kelihatan gagah dan dipandang mulia. Maka, rumah itu pada hari ini kelihatan amat uzur. Keadaan rumah kian hari semakin dimamah usia. Sana sini kelihatan tidak terurus. Atapnya sudah kebocoran, papan dan dindingnya sudah mula dimakan anai-anai. Dapurnya kelihatan senget, menunggu rebah ke bumi. Begitu juga ahli-ahli keluarganya yang suka mementingkan diri terutama apabila datuk nenek mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini. Adik-beradik dan seluruh isi keluarga mula bercakaran sesama sendiri, berebut rumah pusaka, harta dan tanah pusaka yang sekangkang kera. Pergaduhan sesama keluarga sering berlaku bagi mendapatkan hak dan keuntungan semata-mata.

Ulasan :
Kisah rumah tua ini boleh kita ibaratkan kepada parti keramat UMNO yang telah banyak berjasa kepada bangsa, agama dan tanahair yang tercinta ini. Walaupun parti ini telah banyak berjasa, namun pada hari ini keadaan sudah berubah akibat peredaran masa dan zaman. Pada hari ini persepsi rakyat terhadap UMNO sudah berbeza. Tidak seperti dahulu lagi. Ramai anak-anak muda generasi baru sudah tidak hormat pada parti keramat ini. Sekarang, mereka secara terang-terang tidak dapat menerima UMNO malah sanggup bekerja dengan parti-parti pembangkang sebagai protes apabila melihat gelagat watak-watak utama dalam kepimpinan UMNO yang dikaitkan dengan isu-isu rasuah, kronisme, sombong, bongkak, mementingkan diri dan tidak mesra rakyat. Sekarang golongan anak-anak muda sudah tidak mempercayai media arus perdana untuk mendapatkan maklumat dan berita. Mereka menggunakan media cyber sebagai media alternatif. Semangat jati diri mereka kepada Negara sudah mulai pudar. Ekoran pendedahan salah laku watak-watak utama dari kalangan pemimpin-pemimpin Negara yang terlibat dengan isu-isu yang tidak boleh diterima oleh rakyat marhaen. Setelah tewas dalam Piliharanya ke 12 lalu, kesedaran mula timbul, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta UMNO melakukan perubahan berani selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal jika tidak mahu menyaksikan hayat parti berakhir.

Dalam hal ini, Jabatan Penerangan sebagai agensi yang bermatlamat untuk mempertahankan Negara, perlu memainkan peranan bagi mengangkat suara rakyat ke peringkat atasan melalui laporan yang kita hantar setiap minggu, bagi mengatasi rintihan suara-suara ketidakpuasan hati rakyat di peringkat akar umbi agar Jemaah Menteri dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

Oleh yang demikian, seluruh jentera Penerangan perlu digerakkan demi memperkukuhkan lagi hubungan dengan jaringan utama kita khususnya melalui Komuniti Bestari. Kita yakin jika semangat win-win situation antara Jabatan dan kepimpinan Negara dapat kita praktikkan, kita optimis lebih banyak lagi peruntukkan dapat disalurkan kepada semua Komuniti Bestari dalam mengadakan program dan aktiviti dan seterusnya memastikan kejayaan Negara pada masa-masa hadapan.

Selamat Berjuang !!





Tuesday, March 24, 2009

PERTANDINGAN KUIZ ASEAN - PASTIKAN KITA BOLEH



Memandangkan penyertaan pelajar-pelajar sekolah dari seluruh daerah di Negeri Perak yang mendaftar menyertai Pertandingan Kuiz Asean pada tahun ini adalah lebih dari 400 penyertaan dari 46 buah sekolah paling ramai berbanding negeri lain iaitu - sambutan memberangsangkan oleh pelajar-pelajar sekalian membuktikan satu semangat awalan bagi pelajar-pelajar untuk mencapai kejayaan dalam pertandingan ini. Syabas! Saya ucapkan.

Hari ini (25 Mac 2009), Pertandingan Kuiz Asean kali ke 4 berlangsung mulai 9.00 pagi hingga 3.00 petang serentak di seluruh Negara secara on-line dalam tempoh satu jam masa yang diberikan bagi setiap peserta sebagaimana syarat yang telah ditetapkan dan diawasi oleh Guru Penyelia yang terpilih.

Saya berharap pertandingan ini berjalan dengan lancar tanpa mengalami masalah kerana ujian simulasi dan dry run telah diadakan dua hari berturut-turut iaitu pada 23 dan 24 Mac 2009 lalu dengan setiap peserta telah diberi kata laluan (password) masing-masing.

Selaku pengerusi bersama antara Pengarah Jabatan Penerangan dan Pengarah Jabatan Pelajaran Perak pastinya kita bertekad untuk mencapai kejayaan atau sekurang-kurangnya mendapat tempat seperti kejayaan SM Sains Tun Azlan Shah, Taiping yang berjaya menduduki tempat kedua di peringkat kebangsaan pada tahun 2006 serta melayakkan peserta bertanding diperingkat serantau di Kuala Lumpur.

Untuk makluman, semua Pertandingan Kuiz Asean peringkat serantau telah diadakan di Bangkok pada tahun 2002 diikuti Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam (2004), Kuala Lumpur, Malaysia (2006) dan Manila, Filipina pada bulan September 2009 akan datang.


Antara lain objektif pertandingan ini adalah :-

a) Meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai hal ehwal ASEAN dikalangan peserta.

b) Mendedahkan golongan belia kepada aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial Negara – Negara Asean.

c) Menyemai semangat kesefahaman dan setia kawan dikalangan generasi muda bakal pemimpin dan peneraju masa depan.

d) Meningkatkan minat dan kaedah pencarian maklumat dikalangan peserta.

Kepada semua peserta-peserta, saya mendoakan kejayaan anda dan pastinya kita boleh melakukannya.

MEE UDANG BANJIR


Biasanya apabila kita pergi ke Restoran Mamak, istilah roti banjir memang terkenal di kalangan penggemar roti canai. Roti banjir adalah merujuk kepada roti canai yang di potong-potong serta diletakkan kuah yang banyak serta sambal bagi penyedap rasa. Berbanding dengan roti canai biasa yang dimakan secara dicicah dengan kuah yang diletakkan dalam piring kecil yang berasingan.

Di Negara kita, roti canai atau roti banjir adalah merupakan menu utama sarapan pagi masyarakat Malaysia. Semua kaum menyukainya ditambah pula dengan secawan teh tarik. Nikmat rasanya amat unik.

Bagi penduduk di Kuala Sepetang, Taiping, Perak pula lain ceritanya. Mee udang banjir paling popular di sini, walaupun mee udang yang sama boleh kita perolehi di tempat-tempat lain. Tetapi, mee udang banjir Kuala Sepetang begitu popular dikalangan pengunjung-pengunjung tempatan atau pengunjung-pengunjung dari luar. Rasanya yang ala menu mee bandung yang ada di Kuala Sepetang ini memang enak dan pastinya kita akan tertarik untuk singgah sebentar menikmati mee udang banjir di sini.

Nampak gayanya rezeki pengusaha mee udang di Kuala Sepetang kali ini begitu lumayan sekali. Pengunjung-pengunjungnya berlipat-lipat ganda dari hari-hari biasa ekoran dari kebanjiran petugas-petugas pilihanraya yang datang ke Parlimen Bukit Gantang. Di sepanjang jalan bermula dari persimpangan tol Changkat Jering menuju ke Simpang Empat, Kuala sepetang. Gerai-gerai makanan ala tomyam dan mee udang memenuhi pandangan di kiri dan kanan jalan menghala ke Kuala Sepetang.

Barisan kereta-kereta kecil dan besar kelihatan banyak di ‘parking’ di kiri kanan jalan bagi tuan punya kereta menunaikan hajat untuk menikmati sepinggan mee udang banjir Kuala Sepetang. Walaupun tukang-tukang masaknya tak menang tangan untuk menyediakan setiap tempahan. Namun, pelanggan-pelanggan tetap setia menunggu walaupun terpaksa menunggu hampir satu jam bagi mendapatkan rasa mee udang.

Salah satu gerai mee udang yang popular ialah Mak Teh Mee Udang di Kuala Sepetang. Sebaik sahaja kita memasuki gerai itu, pekerjanya datang dan bertanyakan nak makan mee gred A atau gred B (Gred A merujuk mee serta udang segar [fresh] dari laut, manakala gred B pula merujuk mee dan udang biasa sahaja. Harganya juga berbeza antara RM6 hingga RM12 sepinggan).

Di gerai Mak Teh pelanggan datang berduyun-duyun. Gerai yang kian popular, meniti dari satu bibir ke satu bibir terutama selepas pihak TV3 memberikan promosi di Majalah 3 tidak berapa lama dahulu.

Bermula kita masuk ke tol Changkat Jering menuju ke Bandar Taiping, memang banyak pilihan makanan yang terdapat di Bandar Taiping ini. Cuma tanya kehendak selera kita dan ongkos di poket semuanya boleh kita perolehi di sini. Begitu juga Restoran Puyuh yang begitu popular sebaik-baik sahaja kita memasuki Taiping di persimpangan tol Changkat Jering. Khabarnya rasa puyuh di gerai ini special kerana puyuh dari jenis kacukan Peranchis. Jika anda datang lewat, terutama di musim pilihanraya ini, kita akan kempunan.

Keenakan Mee Udang Banjir dan Goreng Puyuh kacukan Peranchis sungguh enak sekali. Apabila mencuba sekali rasanya kita akan datang lagi. Pada keesokkan harinya penulis rasa agak berat badan dan sukar untuk bangun pagi. Saya apa sudah jadi? Rupa-rupanya kaki kelihatan membengkak sedikit. Mee udang dan tanda-tanda penyakit gout mula menyerang. Oh dah berumur juga usia, bisik hati kecil. Macam-macam penyakit mula datang.

Wednesday, March 18, 2009

SELAMAT BERJUANG DI PRK P059 BUKIT GANTANG

Saya mengucapkan selamat datang ke Perak khususnya ke Bukit Gantang kepada seluruh jentera PRK P059 – Parlimen Bukit Gantang , baik Urusetia GSPI Ibu Pejabat Kuala Lumpur, Urusetia BPAM, KDM dan petugas-petugas lapangan dari seluruh Semenanjung serta rakan-rakan setugas JASA dan RTM yang diarahkan bertugas di sini.

Sejak kematian Ahli Parlimen Bukit Gantang, YB Roslan Shaharom (PAS) pada 9/2/09, Bukit Gantang telah menjadi tumpuan ramai terutama dikalangan petugas-petugas parti baik parti kerajaan mahupun parti pembangkang. Jika sebelum ini Bukit Gantang yang kelihatan tenang dan sunyi kecuali di musim durian. Bukit gantang memang terkenal dengan buah durian yang berkualiti dan rasanya yang enak sukar digambarkan (tetapi awas kepada yang mengidap sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis).

Bukit Gantang sinonim dengan buah durian. Malah saban tahun Kerajaan Negeri Perak menganjurkan Pesta makan Durian, Jom Kita Makan Durian Yeop. Begitu bunyi kempennya. Malah Pusat Rehat dan Rawat (R & R) laluan arah Utara dan Selatan lebuhraya sering membuat promosi bayar RM5.00 dan makan durian selagi tekak kita lalu setiap kali musim durian. Itu cerita Bukit Gantang dengan duriannya. Tapi kali ini lain pula ceritanya.

Pada hari ini, Parlimen Bukit Gantang menjadi tumpuan seluruh negara selain dari DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak kerana akan diadakan Pilihanraya Kecil pada 7 April 2009 serentak.

Negeri Perak pula menjadi perhatian dunia kerana kemelut politik yang berlaku di Negeri ini terutama apabila Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengambil alih kepimpinan dari gabungan parti-parti PKR, DAP dan PAS. (gabungan Pakatan Rakyat belum didaftarkan lagi).

Sebagai peneraju komunikasi dan frontliner, saya percaya kemelut politik Perak khususnya peralihan kuasa ini telah dapat kita fahami sedalam-dalamnya ekoran dari beberapa siri ceramah yang telah diadakan baik di media massa ataupun melalui program-program anjuran Jabatan Penerangan, JASA dan hebahan-hebahan di Perak FM atau di media elektronik – RTM dan TV swasta di mana Paduka Seri Sultan Perak telah memperkenankan peralihan kuasa ini kepada BN berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Mungkin ada sesetengah pihak yang sengaja tidak mahu memahami situasi sebenar dan sanggup memohon derhaka kepada Sultan Perak serta sanggup berbaring di tengah jalan di hadapan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bagi menghalang kenderaan Raja Muda Perak sewaktu majlis angkat sumpah YAB Datuk Dr. Zambry bin Abdul Kadir sebagai Menteri Besar serta mengadakan Persidangan DUN di bawah pokok sebagai membantah keabsahan (legitimacy) Kerajaan BN Perak. (Idea yang dibawa oleh P. Ramlee dalam filem Laksamana Do Re Mi. Pemerintahan Kerajaan Pasir Dua Butir mengadakan persidangan dibawah pokok kini berlaku di Perak).

Saya sangat-sangat berharap agar semua petugas-petugas yang telah dilantik ke Parlimen Bukit gantang ini dapat memahami secara finger tips kronologi serta kedudukan sebenar krisis yang berlaku bagi meyakinkan rakyat fakta-fakta sebenar agar masyarakat diperingkat akar umbi khususnya pengundi-pengundi memahami isu yang ditimbulkan.

Saya yakin, sebagai seorang ahli komunikator berwibawa yang mempunyai pengalaman berdamping rapat dengan akar umbi, mampu melaksanakan tugas penting ini - memainkan peranan dengan pendekatan yang lebih berkesan. Jadikanlah semangat juang Peneraju Komunikator ini diterjemahkan oleh pengundi-pengundi di P059 Bukit Gantang dalam kertas undi pada 7 April nanti bagi memastikan kejayaan Negara berterusan dan kerajaan dapat membangunkan Negara, mengekalkan kemakmuran rakyat, mempertingkatkan perpaduan kaum dan mengatasi masalah krisis ekonomi global serta memelihara keamanan dan kesejahteraan rakyat di Negara yang kita cintai ini.

SELAMAT BERJUANG!

Sunday, March 15, 2009

PENGUNDI P59 BUKIT GANTANG CETUS GELOMBANG BARU

Saya turut menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Taman Kota Jaya Simpang, Taiping pada Sabtu lepas (14 Mac 2009). Reaksi spontan saya pada ketika itu bagaikan adanya satu gelombang baru dikalangan masyarakat setempat yang begitu ghairah menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta pemimpin-pemimpin tertinggi Negara termasuk YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Muhammad Mohd Taib serta pemimpin di peringkat nasional dan tempatan yang lain walaupun notis pemakluman yang diberikan bagi majlis berkenaan adalah begitu singkat.

Kehadiran hampir 10,000 orang terdiri dari pelbagai kaum menunjukkan komitmen dan respons yang positif dari masyarakat setempat di mana mereka telah memperlihatkan sokongan padu kepada program hari tersebut terutama sekali apabila TPM memberikan ucapan.

Majlis yang berlangsung hampir 3 jam turut mengumumkan calon Barisan Nasional (BN), Encik Ismail Safian, anak jati Bukit Gantang turut mendapat sokongan padu segenap lapisan masyarakat. Rata-rata masyarakat telah memperlihatkan semangat perpaduan yang tinggi terhadap pencalonan beliau.

Saya sempat menemubual beberapa orang penduduk tempatan yang rata-rata sudah jelak dan bosan pada Pakatan rakyat (PR) yang langsung tidak mempunyai agenda pembangunan, kebajikan dan perancangan bagi membela nasib rakyat. Asyik-asyik mereka mengadakan ceramah isu semasa saban hari yang mengutuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan. Rakyat Negeri Perak telah merasai keperitan pemerintahan mereka selama 11 bulan bagaikan satu penyiksaan kepada mereka dan mereka tidak mahu tertipu lagi.

Walaupun hari mengundi masih jauh iaitu pada 7 April 2009 akan datang, namun dari tinjauan saya di beberapa daerah mengundi dan lokaliti serta bertemu dengan pengundi-pengundi, saya mendapati bagaikan telah bermula satu gelombang baru penduduk Negeri Perak menyokong Kerajaan BN.

Sama-samalah kita bekerja keras dan berdoa agar BN memperoleh kejayaan dalam PRK P059 Bukit Gantang nanti.

Friday, March 13, 2009

BAJET MINI - RM 60B

1. Pengumuman TPM pada 10 Mac 2009 mengenai pakej ransangan ekonomi berjumlah RM60B dijangka mampu memulihkan ekonomi Negara ekoran krisis ekonomi global.

2. Kali pertama dalam sejarah ekonomi Malaysia bagi mengelak Negara terjerumus dalam krisis ekonomi.

3. Jumlah RM60B yang diperuntukkan itu jauh lebih besar daripada jangkaan banyak pihak.

4. Menjangkau lebih banyak sektor ekonomi, kumpulan sasaran termasuk pekerja, pengguna, peniaga kecil dan sederhana, pengeksport dan graduan menganggur.

5. Walaupun di Negara ini, kita berbeza pendapat tentang politik, namun menjadi harapan semua bila berhadapan dengan masalah ekonomi yang melanda Negara. Kita perlu bersepakat dan sekata, memikir dan melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat.

6. Krisis ekonomi global pada masa ini adalah yang terburuk sejak Perang Dunia Ke 2 / economic depression.

7. 163,000 peluang pekerjaan
63,000 pengambilan untuk kakitangan kerajaan

8. 4 teras pakej ransangan ekonomi kedua

a) RM2 bilion
Mengurangkan pengganguran dan menambah peluang pekerjaan.

b) RM10 bilion
Meringankan beban rakyat terutama golongan mudah terjejas.

c) RM29 bilion
Membantu sektor swasta menghadapi krisis

d) RM19 bilion
Membina keupayaan masa depan.